15 Oktober 2009

info bersama...



Kedudukan Malaysia yang hampir dengan laluan taufan, pusat gempa menyebabkan ia merasai tempias bencana

DALAM tempoh beberapa minggu lalu, rantau Asia Pasifik teruk dilanda beberapa bencana alam yang mengorbankan ribuan nyawa. Paling teruk, Taufan Ketsana yang mengorbankan lebih 400 orang di Filipina, Vietnam dan Kemboja.

Bencana itu disusuli pula dengan gempa bumi berukuran 7.6 skala Richter yang melanda Padang, Sumatera, Indonesia mengakibatkan hampir 1,000 nyawa terkorban, belum termasuk kategori orang hilang yang kemungkinan besar akan menyumbang kepada peningkatan statistik korban.

Pada hari sama juga, tsunami membadai Samoa Amerika dan Samoa Barat, mengakibatkan hampir 150 orang maut.

Beberapa hari lalu, Filipina sekali lagi dilanda musibah taufan disifatkan sebagai 'super typhoon' dikenali Taufan Parma, mengakibatkan banjir kilat yang mengorbankan hampir 300 orang di Manila dan sekitarnya.

Taufan itu melanda timur laut pulau Catanduanes di tengah Filipina pada kelajuan 180 kilometer sejam, meniup kencang menghala ke arah barat daya menuju tanah besar Luzon, dengan membawa hujan yang amat lebat.

Keadaan itu membimbangkan kerana Malaysia berada dalam lingkungan tengah antara semua negara terbabit. Semuanya berlaku berhampiran Malaysia iaitu gempa Sumatera (barat Semenanjung) manakala taufan melanda Filipina (Sabah dan Sarawak) serta Kemboja dan Vietnam (timur Semenanjung).


Timbalan Ketua Pengarah (Aplikasi), Jabatan Meteorologi Malaysia, Alui Bahari menjelaskan, secara geografi, rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia sebenarnya dihimpit dari semua arah oleh pergerakan plat tektonik iaitu Plat Indian Australia, Plat Pasifik dan Plat Eurasian.

Katanya, pergerakan plat tektonik ini menyebabkan rantau ini mempunyai kawasan aktiviti seismik yang aktif dikenali sebagai 'lingkaran api' yang mengunjur dari Laut Andaman, perairan barat Sumatera, Pulau Jawa, Sulawesi, Irian Jaya, dan Filipina.

Kedudukan Malaysia yang berhampiran pertembungan plat tektonik di sebelah barat kepulauan Sumatera dan di kepulauan Filipina menyebabkan beberapa aktiviti gempa bumi yang terjadi di kawasan berkenaan turut dirasai di Malaysia.

"Jika dilihat kepada statistik, ia agak membimbangkan kerana secara purata, Filipina dilanda bencana taufan 20 kali setahun dan sembilan daripadanya serius dan tepat. Ini berlaku kerana ia berada di kedudukan tempat pertukaran putaran angin tekanan rendah yang akan menarik udara tekanan tinggi.
"Namun, biasanya laluan pergerakan angin itu yang menyumbang kepada taufan sebenarnya lebih menghala ke arah China, Jepun, Taiwan dan kadang kala tersasar ke Vietnam dan Kemboja.

"Keadaan itu berlaku pada kawasan yang mempunyai suhu 7 darjah Celsius utara dan selatan dan hakikatnya, Malaysia langsung tidak cenderung ke arah itu kerana mempunyai daya tarikan suhu hampir 0 darjah Celsius.

"Jika ada, ia cuma angin ribut pada suhu permukaan atau ribut tropika mengakibatkan angin kencang dan ribut petir. Cuma Sabah dan Sarawak agak terdedah kepada risiko berkenaan terutama di pantai barat Sabah," katanya.

Hakikat yang harus dibimbangi juga ialah Indonesia kerap dilanda gempa bumi dan tsunami, bahkan kesan gegarannya turut dirasai di negara ini.

Alui berkata, pertembungan plat tektonik di sebelah kepulauan Sumatera berlaku setiap tahun dengan purata pergerakan garis sesar aktif sebanyak 7 sentimeter (sm) setahun manakala di Filipina, ia merekodkan pergerakan 11 sm setahun.

"Ia terlalu kecil dan jarang dirasai gegarannya. Umpama individu yang mengalami tekanan perasaan, lebih baik dilepaskan sedikit demi sedikit daripada dibiarkan dan dipendam. Akibatnya, jika dipendam terlalu lama, ia akan 'meletup' mengakibatkan gempa besar dan boleh terjadi tsunami," katanya.

Seorang lagi pakar meteorologi merangkap Ketua Pemantau Sistem Bumi, Simulasi dan Iklim, Institut Sains Laut dan Bumi, Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah, berkata taufan boleh dikesan berdasarkan petanda cuaca buruk dan pergerakan angin, tetapi keadaannya berbeza jika berlaku gempa bumi terutama yang kuat hingga menyebabkan tsunami.

"Pergerakan angin 'tidal search' juga boleh menyebabkan banjir di kawasan pantai dengan ketinggian ombak mencecah 3 hingga 4 meter tetapi tenaganya agak rendah berbanding ombak tsunami kerana tenaganya sangat kuat dan kekal walaupun ketika melanda pantai hingga menghasilkan ombak tinggi.

"Jika wujud rekahan plat sedalam satu kilometer, kelajuan ombak yang terhasil boleh mencecah 360 kilometer sejam. Maknanya, ombak itu boleh sampai dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang dalam tempoh sejam, sama kelajuan kapal terbang," katanya.

Info

  • Definisi gempa bumi: Fenomena gegaran bumi yang berlaku akibat gerakan bumi yang mengalami gelinciran di garis sesaran bumi ataupun disebabkan oleh aktiviti gunung berapi.

  • Tsunami: Satu perkataan Jepun bermaksud 'ombak pelabuhan'. Ia adalah satu fenomena ombak besar yang melanda pantai disebabkan kejadian gempa bumi di dasar laut. Aktiviti di dasar laut seperti tanah runtuh, ledakan gunung berapi, letupan serta hentaman bahan kosmik seperti meteorit juga boleh menghasilkan tsunami.


  • - dipetik dari berita harian online

    12 ulasan:

    mamai berkata...

    adakah ini bermakna kita tidak akan mengalami bencana gempa bumi..oleh itu kita tak perlu sebarang persiapan

    azmi yusof berkata...

    banyak bangunan baru pada masa kini sudah dirancang dari awal untuk elakkan kesan gempa..namun itu bangunan baru..bangunan lama di negara kita termasuklah rumah yang kita duduki tidak bersedia menghadapi kesan tersebut..kalau tak gempa sekalipun begitu banyak bangunan di negara kita retak sana sini..bayangkanlah kalo gempa...mintaklah dijauhkan..

    besi berkata...

    nasib baik kita jiran je....
    tapi kasihan melihat jiran2 kita yg terkena bencana alam ini...
    semoga semuanya selamat

    dina berkata...

    doakan negara kita selamat dari gempa... doakan utk jiran kita yang terkena gempa...

    KUNTONG berkata...

    Gempa bumi dan tsunami adalah ujian dari Allah, dan pasti ia ada hikmahnya bagi yang terlibat dan yang tidak terlibat agar kembali kepada ajaranNya.
    Untuk itu pertama sekali kita mesti jaga agar hati dan iman kita tidak digegar dengan gempa bumi godaan syaitan dan libasan air tsunami hawa nafsu yang sering kita tewas dengannya, lantas kita hanyut dan terpesong jauh dari matlamat hidup insan yang lemah. Justeru, kukuhkanlah iman kita sekukuh mana yang boleh agar tidak mudah diubah dengan kata-kata manis yang mengandungi racun berbisa.

    a.k.u.p.e.n.t.o.i berkata...

    dunia mau abis suda..

    meo188 berkata...

    wah... nak kawin dulu sebelum ajal tiba...

    sob sob sob

    mamarempit berkata...

    dlm kajian geografi...pulau sumatera tu akan tenggelam lagi beberapa tahun...mase tu..malaysia ni dh tk de pelindung....tawakkall....

    eddie dewanaga berkata...

    semoga kita selamat dari musibah alam...

    Mak Su berkata...

    kita ni ibarat cubit paha kanan, paha kiri terasa juga... moga jiran2 kita selamat sentiasa

    caluk@cencaluk berkata...

    mcm baca buku teks geografi lak

    Rashid berkata...

    eiza, bumi semakin marah dan amarahnya akan tak bisa dikawal lagi. Marah dengan tangan-tangan manusia yang semakin angkuh!!

    Hanya berdoa..

    LinkWithin

    Related Posts with Thumbnails